MELAKA – Kerajaan Negeri hari ini menafikan sebarang kes 2019 Novel Koronavirus berlaku di Melaka sehingga kini seperti yang ditularkan dalam media sosial, sejak semalam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong berkata walaupun pada awalnya terdapat kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia tujuh tahun yang didakwa mempunyai simpton koronavirus namun ia disahkan negatif setelah menjalani ujian di Hospital Kuala Lumpur pada tiga hari lepas.

“Kita menerima laporan bahawa terdapat seorang kanak-kanak warga China yang berada di negeri ini mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Ayer Keroh kerana demam pada 24 Jan sebelum diminta pihak klinik merujuk ke Hospital Melaka tetapi keluarganya enggan berbuat demikian.

“Bagaimanapun, keluarga kanak-kanak itu membawanya ke Hospital Kuala Lumpur pada hari sama untuk mendapatkan rawatan dan menjalani ujian pengesahan tetapi ia adalah negatif Koronavirus,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat di negeri ini diharap tidak mudah panik dan percaya dengan sebarang berita yang ditularkan dalam media sosial berkaitan Koronavirus sehingga ia disahkan Kementerian Kesihatan.

Low berkata rakyat juga disaran menyemak segala maklumat terkini berkaitan Koronavirus menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan kerana ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Di peringkat negeri juga, kita akan bekerjasama dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat kes Koronavirus dikesan di Melaka dan pengesahan itu akan dibuat pihak kementerian.

“Bagaimanapun, kita sentiasa ‘alert’ dengan perkembangan kes ini dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan sentiasa mengutamakan kebersihan diri, memakai topeng muka sekiranya tidak sihat dan mengurangkan aktiviti luar sebagai langkah awal pencegahan.

Semalam, tular dalam aplikasi Whatsapp dan media sosial mendakwa kononnya ada kes jangkitan Koronavirus di Melaka sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

— BERNAMA