Dr. Shamsul Anuar Nasarah
Dr. Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Rakyat berhak untuk merasa bimbang dengan penyakit wabak koronavirus yang melanda Malaysia dan beberapa negara lain.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebimbangan itu lahir berikutan sikap kerajaan lambat bertindak, selain banyak kenyataan oleh Perdana Menteri serta menterinya tidak menyakinkan.

Kata beliau, apa yang dipersoalkan rakyat melalui komen di laman media sosial berkaitan koronavirus kebanyakannya berkait rapat dengan cara kerajaan mengendalikan isu itu.

“Sebab itu, jangan sesekali berbohong kepada rakyat. Umpamnya, kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, fakta menunjukkan Pegawai Perubatan kerajaan memutar belit fakta.

“Bila ada rekod begini, pastinya rakyat khuatir. Apalagi ini soal nyawa manusia yang terdedah kepada penyakit koronavirus,” katanya dalam ciapan Twitternya.

Mengulas ciapan Menteri Wilayah Persetujuan yang memuji kemampuan pegawai kesihatan Malaysia dalam menangani ancaman wabak koronavirus, Dr. Shamsul Anuar berkata, Abdul Khalid Samad sering meninggalkan komen tidak matang.

Katanya, beliau hairan dengan sikap Abdul Khalid yang juga Pengarah Komunikasi PAN itu yang sering kali memperlihatkan ketidakmatangan dirinya sebagai menteri.

“Ketika dalam sidang Dewan Rakyat pun begitu juga sikapnya. Kesimpulan yang boleh dibuat, inilah tahap sebenar mentaliti dan standard menteri Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau menjelaskan, apapun tahap kecekapan dan kewibawaan bidang perubatan Malaysia, ia dihasilkan sejak dahulu lagi, iaitu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Bidang perubatan Malaysia dibangunkan sejak berpuluh tahun lalu bukan setahun dua sejak kerajaan PH memerintah. Janganlah menafikan semua ini,” katanya.

Dr. Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong mahu Abdul Khalid memberitahu kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri agar kedua-dua pemimpin itu mendengar kehendak dan keluhan rakyat.

Katanya, zaman semua tindakan kerajaan adalah betul sudah berlalu dan ada kalanya rakyat lebih bijak dari menteri serta juga kerajaan.

“Apa salahnya dengar apa yang rakyat kata. Apabila Timbalan Perdana Menteri kata kerajaan ada pengalaman kendalikan kes sebegini dengan baik, itu di zaman kerajaan BN.

“Kalau lihat rekod kerajaan PH kendalikan kes, memang tidak meyakinkan. Buktinya kes kebocoran gas di Pasir Gudang Johor tidak lama dulu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast