Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bercakap kepada media selepas Majlis Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank : Program Memperkasakan B40 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali optimis pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah lebih baik pada tahun ini meskipun pasaran saham dan nilai mata wang negara menunjukkan prestasi lebih lemah berbanding negara-negara serantau.

Jelasnya, asas ekonomi masih kukuh dan berdasarkan data dan statistik yang diperolehinya menunjukkan keyakinan pelabur telah mula pulih.

Ini disokong oleh Indeks Persepsi Rasuah yang menunjukkan kedudukan Malaysia melonjak 10 anak tangga pada 2019 berbanding sebelumnya.

“Memang pasaran saham kita agak rendah tetapi asas masih kukuh dan apa yang telah kita lakukan selama lebih setahun lalu adalah untuk mengembalikan semula pelabur-pelabur ke negara ini dan menggalakkan mereka menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran Asean.

“Dengan pengumuman Transparency International Malaysia baru-baru ini yang melonjak 10 anak tangga pastinya dapat membantu memulihkan keyakinan pelabur kerana indeks rasuah negara bertambah baik.

“Ini semua inisiatif yang dilakukan oleh Perdana Menteri mengembalikan keyakinan dan saya percaya 2020 adalah lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama bagi program pembiayaan mikro di antara Petronas dan Agrobank di sini hari ini.

Ketika ditanya apakah wabak coronavirus, 2019-nCoV boleh menjejaskan ekonomi Malaysia, Azmin berkata, sekiranya berlanjutan ia pasti akan memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, beliau tidak mahu berspekulasi kerana perkembangan wabak tersebut sedang dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan.

“Sebab itulah semalam, selepas Kementerian Kesihatan memberi taklimat kepada Perdana Menteri maka keputusan untuk menghadkan perjalanan pengunjung dari dua daerah terlibat iaitu Wuhan dan Hubei diambil.

“Buat masa sekarang kita akan menumpukan kepada pergerakan pelancong dari dua daerah terbabit.

“Kita juga harus lihat kepada perubahan dalam dagangan makanan. (Namun begitu) ini perkara biasa dalam import-eksport makanan supaya kebersihannya terjadi.

“Tanpa wabak pun kita sudah lakukannya secara terperinci apatah lagi apabila terjadinya wabak,” katanya lagi.

Tambahnya, masih belum ada keperluan untuk Malaysia menghentikan import daripada China dan kerajaan telah pun mengambil langkah-langkah pro-aktif untuk menangani virus tersebut.-MalaysiaGazette