KUALA LUMPUR – Pasukan berpangkalan di China, Hengxiang Cycling sah menarik diri daripada menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang bermula 6 Feb, sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penularan 2019 novel koronavirus.

Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen A Hamid berkata kekosongan yang ditinggalkan oleh pasukan Hengxiang Cycling itu bagaimanapun tidak menjejaskan perlumbaan dan pihak penganjur akan mengumumkan penggantinya dalam masa terdekat.

“Memang ada lagi pasukan dari China akan bertanding. Satu pasukan sudah tarik diri semalam disebabkan koronavirus. Sekarang kami tengah tunggu dua lagi pasukan dari China dan satu dari Hong Kong untuk pengesahan sama ada akan turut serta atau tidak,” katanya kepada media, hari ini.

Shahaizereen berkata sebagai penganjur LTdL 2020, Human Voyage akan bekerjasama dengan beberapa kementerian, terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan pemeriksaan secara terperinci di lapangan terbang bagi memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas media yang tiba dari negara China bebas daripada virus itu.

Jelasnya, pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin oleh KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.

“Selain wakil dari China, pihak penganjur juga akan memantau perkembangan semasa kesemua pegawai, pelumba dan petugas dari dalam dan luar negara sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Mereka juga diminta untuk membuat saringan kesihatan terlebih dahulu dan laporan itu akan dihantar kepada kami (penganjur) untuk diserahkan kepada KKM. Kami akan memastikan perlumbaan LTdL2020 berlangsung tanpa sebarang kebimbangan khususnya melibatkan isu kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran LTdL edisi ke-25 tahun ini, Shahaizereen berkata pihak penganjur tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan dana.

Beliau mendedahkan penganjuran kali ini menelan belanja lebih RM18 juta dengan RM8 juta dana kerajaan manakala RM10 lagi melalui penajaan.

Sehingga kini, sebanyak 22 pasukan termasuk satu pasukan profesional dan lima pasukan Profesional Benua mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini.

LTdL 2020 melibatkan lapan peringkat perumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi, selain dua perlumbaan tambahan, iaitu Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Feb dan Malaysian International Classic Race di Pulau Langkawi pada 15 Feb.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast