Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang hanya mahu mengkaji semula undang-undang sangat mengecewakan setiap kali berlaku kemalangan berpunca daripada pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, sampai bila kerajaan terus berlengah sedangkan insiden itu berulang kali berlaku dan menyebabkan kehilangan nyawa dan harga benda.

“Saya gesa pihak berwajib terutama MOT tidak lagi berlengah. Takkan setiap kali berlaku insiden begini, responnya cuma akan kaji? Nak kaji sampai bila?

“Kelmarin PDRM pun kata hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Saya setuju dan mesti disegerakan!” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Hishammuddin berkata, sudah tiba masanya peraturan kadar alkohol semasa memandu diperketatkan.

“Kalau ikut Laporan Keselamatan Jalan Raya 2018 yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Malaysia bukan negara yang mempunyai ‘good drinking driving laws’,” katanya.

Katanya bekas Menteri Pertahanan itu, gesaan itu bukan dilakukan kerana mahu mencari ruang untuk menghukum pesalah jalan raya itu.

“Tetapi ini soal keadilan, khususnya kepada mangsa apatah lagi yang kehilangan nyawa.

“Ini juga soal kesedaran serta keselamatan. Harap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak ambil mudah isu ini!” katanya.

Katanya lagi, kes kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol sejak beberapa hari ini dilihat seolah-olah tiada rasa takut kepada undang-undang.

“Semalam dan empat hari lepas di Klang. Lima hari sebelumnya di Ipoh. November lepas di KESAS. Seolah-olah tiada langsung rasa takut dan bersalah bagi segelintir pemandu!” katanya lagi. – MalaysiaGazette