KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengumumkan kenaikan kadar pos komersial berkuatkuasa pada 1 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, ia hanya melibatkan pelanggan komersial seperti sektor perbankan, telekomunikasi dan peruncitan.

“Kadar pos yang baharu ini hanya melibatkan mel berdaftar, mel komersial dan bungkusan kecil di bawah 2 kilogram,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelas beliau, kenaikan itu seiring dengan peningkatan kos operasi dan peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU) baru-baru ini yang mengubah landskap industri pos global.

“Kadar pos baharu ini akan membolehkan syarikat mengendalikan kos dengan lebih berkesan untuk menyediakan perkhidmatan kepada lebih sembilan juta alamat di seluruh negara dalam memenuhi Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO),” katanya.

Ketika ini, 95 peratus daripada jumlah pengguna mel dalam negara merupakan pelanggan komersial, manakala hanya 5 peratus terdiri daripada pengguna mel individu.

Kali terakhir kadar pos dikemas kini adalah pada tahun 2010. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast