Insiden kemalangan melibatkan sebuah trak tiga ton milik TUDM yang telah hilang kawalan di Hutan Bukit Jugra hari ini.- pix ihsan FB Info Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Markas Tentera Udara mengesahkan berlaku insiden kemalangan melibatkan sebuah trak tiga ton miliknya yang telah hilang kawalan di Hutan Bukit Jugra hari ini.

Ia hilang kawalan kerana kegagalan fungsi brek semasa menuruni Bukit Jugra selepas selesai menghantar barang-barang, kata satu kenyataan Tentera Udara Malaysia (TUDM) malam ini.

Pada kejadian yang berlaku pada jam lebih kurang 3.30 petang, kenderaan tersebut membawa pegawai kadet PALAPES Udara dan jurulatih yang merupakan kumpulan pendahuluan untuk persediaan fasa Latihan Medan bagi Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara yang bermula esok.

Seramai 29 pegawai kadet PALAPES Udara dan tiga orang jurulatih mengalami kecederaan dan sekarang mereka dirawat di Hospital Banting dan Hospital Klang.

Pegawai Memerintah dan pegawai perubatan dari Rejimen TUDM Bukit Jugra telah turut membantu dan memantau keadaan mangsa kemalangan tersebut.

TUDM akan sentiasa memastikan pemantauan berterusan dan memberi bantuan yang sebaiknya kepada semua yang terlibat dengan insiden berkenaan.- MalaysiaGazette