Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) melihat status terkini pada Sistem Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan (MyCPRC) selepas hadir mendengar taklimat perkembangan terkini Kluster 2019-nCoV dan penularan wabak koronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Kementeri Kesihatan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia akan menyediakan laluan khas kepada pelancong China di pintu masuk negara sebagai langkah pengukuhan saringan daripada jangkitan koronavirus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sekiranya pelancong China didapati mempunyai gejala wabak itu, mereka akan dirujuk terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mesyuarat khas antara agensi kerajaan dan kementerian mempersetujui beberapa cadangan sebagai kawalan dan pencegahan wabak koronavirus.

“Ini termasuklah pengukuhan saringan kemasukan pengembara dari China termasuk menyediakan laluan khas.

“Merujuk pengembara (warganegara dan bukan warganegara) kepada KKM sekiranya mempunyai gejala,” katanya pada sidang media di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang perhimpunan atau persidangan berskala besar yang melibatkan peserta antarabangsa

“Buat masa ini, kerajaan tiada halang (Perayaan Thaipusam) memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang sekatan perjalanan.

“Kalau WHO keluarkan arahan, baru kerajaan akan buat kenyataan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette