Khairuddin Abu Hassan
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menyekat mana-mana pihak untuk bersuara kerana Perlembagaan negara mengizinkan kebebasan bersuara atau hak untuk melontarkan pandangan.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagaimanapun menegaskan, ia disesuaikan dengan sistem raja berperlembagaan di negara ini di mana pihak tidak sepatutnya mencampuri urusan pihak eksekutif.

“Cuma dalam apa jua keadaan sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ‘raja berperlembagaan’ adalah tidak molek untuk mana-mana kerabat diraja mengungkapkan kenyataan-kenyataan yang berbaur politik!” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang dimuat naik di Facebook rasminya, Ahad lalu bahawa apa yang dikatakan baginda dua tahun lalu telah terjadi hari ini.

Menurut Tunku Ismail, dua tahun lalu baginda dinasihatkan oleh rakyat supaya berdiam diri dan tidak campur tangan dalam urusan politik dan kerajaan.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, tindakan pihak Istana itu dikhuatiri boleh mengundang cemuhan daripada rakyat dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan balas berbaur politik.

“Sebagai orang Melayu, saya akan terus mempertahankan institusi diraja. Sekiranya ‘dicincang seribu’ sekalipun kita akan bermatian mempertahankan institusi diraja!

“Demi bagi memelihara institusi diraja terus disayangi dari kaca mata rakyat serta terus relevan hingga ke akhir zaman. Raja adalah ‘payung kepada keseluruhan bangsa di tanahair yang tercinta ini.

“Konsep ‘raja berperlembagaan’ mesti difahami dan diamalkan secara profesional oleh semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette