KUALA LUMPUR – Seramai 25 orang Pegawai Kadet PALAPES Udara dan tiga jurulatih yang cedera dalam kemalangan di kawasan Hutan Bukit Jugra petang semalam telah dibenarkan keluar dari Hospital Banting dan Hospital Klang pada awal pagi ini.
Bagaimanapun, seorang Pegawai Kadet masih lagi dirawat di Hospital Klang dan tiga di Hospital Banting.
Markas Tentera Udara berkata, pihaknya sentiasa memantau keperluan kebajikan mangsa yang masih menerima rawatan di
hospital termasuk menyediakan penginapan untuk waris yang memerlukannya di Rejimen Tentera Udara Malaysia (TUDM), Bukit Jugra.
“Seluruh warga TUDM bersimpati atas kejadian yang berlaku dan mendoakan mangsa yang cedera kembali pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam kejadian semalam, sebuah trak tiga ton milik TUDM ya yang telah hilang kawalan di Hutan Bukit Jugra pada jam 3.30 petang.
Ia hilang kawalan kerana kegagalan fungsi brek semasa menuruni Bukit Jugra selepas selesai menghantar barang-barang.
Kenyataan itu turut memberitahu TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. – MalaysiaGazette