Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JANUARI 2020

KAJANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan isu kekurangan topeng mulut dan hidung disebabkan cuti Tahun Baru Cina dan menyebabkan ia kekurangan stok.

Justeru itu, Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta syarikat pengilang topeng mulut dan hidung supaya menyediakan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai berikutan penularan penyakit berjangkit 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang melanda negara kini.

Katanya, KPDNHEP telah mengadakan perbincangan dengan  pengilang topeng hari ini bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Bekalan berkurangan kerana banyak kilang yang tutup kerana cuti sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Sekarang ini permintaan begitu tinggi dan bekalan sedia ada  tidak dapat menampung permintaan.

“Kita sudah maklum pada pihak pengeluar dan mereka akan meningkatkan pengeluaran mereka dan beroperasi seperti biasa,” katanya selepas majlis perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Tesco Extra, hari ini.

Isnin lalu, KPDNHEP berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah susulan penularan wabak koronavirus.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abdul Aziz pula memaklumkan tindakan tegas itu akan dibuat menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast