Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berhubung perkembangan terkini koronavirus di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JANUARI 2020

PUTRAJAYA –  Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak menolak risiko tinggi berlakunya jangkitan koronavirus berpunca daripada sentuhan (kontak) rapat yang berterusan dengan pesakit.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes terbaharu dilaporkan awal hari ini, yang merupakan  isteri kepada lelaki warga China yang dilaporkan positif wabak yang sama pada 29 Januari lalu. 

“Kita tidak tahu sama ada jangkitan itu berlaku lebih awal (dari Wuhan), memang betul dia datang ke Singapura, tetapi kita tidak tahu dari mana ia bermula. Semua itu masih dalam pemerhatian kita.

“Nampaknya syarat mendapat virus ini adalah continuous closed contact sebab si ibu menjaga anak-anak dia dan ibu mertuanya di Hospital Sungai Buloh dan sekarang si ibu itu dijangkiti .

“Kita buat pemerhatian dan kita rakam continous closed contact itu adalah salah satu risiko yang lebih tinggi untuk dapat jangkitan, tetapi kita tidak boleh membuat rumusan,” katanya dalam sidang media di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Datuk dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dzulkefly, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada 19 negara yang terjejas dengan virus baharu itu khususnya mengkaji gejala dan karakter koronavirus yang bermula di China. 

“Sekarang kita kumpulkan semua pengalaman daripada Vietnam, Jerman, China sendiri, dan 19 negara yang lain jadi kita dapat faham gejalanya, karakter virus baharu ini,” ujar Dzulkefly.

Kes terbaharu yang direkodkan positif 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) yang dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan lapan kes di Malaysia yang terdiri daripada warganegara China.

KKM mengesahkan kes terbaharu itu berlaku dalam kalangan kontak rapat yang mana melibatkan seorang lagi warganegnara China berusia 49 tahun.

Menurut kenyataan, kes ke-8 ini adalah wanita warganegara China yang telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Permai, Johor serta dilaporkan dalam keadaan stabil.-MalaysiaGazette