Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (tengah) berbual mesra bersama tetamu pada persidangan 'Rethinking Drug Policy in Malaysia' di UM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Golongan penagih dadah di negara ini tidak sepatutnya dihukum sebaliknya dibantu untuk keluar daripada masalah ketagihan yang membelenggu diri mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perubahan dasar dekriminalisasi untuk menghapus hukuman jenayah terhadap penagihan dadah mampu membantu merawat golongan itu dan bukannya dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau percaya perubahan melibatkan cadangan dasar itu dijangka dapat dilaksanakan sebelum berakhirnya penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

“Dasar dekriminalisasi ini adalah pada golongan yang memerlukan bantuan untuk dirawat dan mereka tidak seharusnya dihukum sehingga apabila mereka terjebak dalam gejala ini masa depan mereka hampir musnah.

“Ini adalah gamechanger (perubahan) polisi. Sudah tentu (dilaksana dalam penggal pertama PH) sebagai tempoh waktu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Pemikiran Semula Polisi Dadah Di Malaysia di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menambah, rakyat tidak seharusnya salah faham terhadap perubahan dasar itu kerana ia bukan untuk menghalalkan penagihan dadah, sebaliknya menggunakan pendekatan merawat mereka selepas terjebak dengan gejala dadah.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berkata, dadah adalah masalah realiti yang mempengaruhi semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Sepanjang hidup, kita mungkin tahu seseorang yang telah berjuang dengan ketagihan dadah. Kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menghentikan pengedar dadah tetapi juga memberi tumpuan kepada kempen pencegahan dadah yang berkesan dan menyediakan rawatan ketagihan dadah yang lebih mudah untuk diakses.

“Dasar kita mestilah berasaskan bukti dan bukan kepercayaan atau persepsi peribadi. Saya menggesa semua pihak meletakkan rakyat kita mengatasi politik kerana isu penyelesaiannya adalah melangkau kaum, agama dan parti politik. Sebaliknya, komuniti kita harus menjadi keutamaan kita.

“Penggunaan dadah dan ketagihannya adalah daripada faktor biologi, alam sekitar dan sosial yang kompleks. Kemiskinan, penderaan fizikal, seksual dan emosi adalah faktor mengapa sesetengah mereka lebih terdedah kepada ketagihan.

“Ketagihan dadah merupakan senario perubatan kronik dan dalam istilah mudah adalah penyakit. Wajarkah kita memusnahkan penyakit dan memenjarakan orang yang mempunyai masalah penggunaan dadah atau patutkah kita menawarkan jalan penyelesaian kepada mereka?” katanya. – MalaysiaGazette