Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pekerja warga China bagi projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kembali ke kampung halaman dinasihatkan oleh majikan mereka untuk menangguhkan perjalanan kembali ke Malaysia berikutan wabak koronavirus novel 2019 di beberapa wilayah di China.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini berkata pekerja warganegara China itu diberi “leave of absence” oleh majikan mereka sehingga wabak koronavirus di negara China berjaya dibendung.

Dalam kenyataan berkenaan, kementerian menasihatkan majikan untuk terus membayar gaji pekerja yang terjejas sepanjang tempoh pelepasan daripada melakukan sebarang aktiviti pekerjaan yang diberikan kepada pekerja itu.

“Ini adalah sejajar dengan pendirian kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin dalam keadaan persekitaran yang berisiko, sebagai contoh, masalah jerebu yang mendedahkan ramai orang awam kepada risiko penyakit beberapa bulan kebelakangan ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sedang mengkaji untuk memasukkan peruntukan baru terhadap undang-undang pekerjaan semasa, melalui pindaan ke atas Akta Kerja 1955 bagi memastikan hak pekerja untuk berkerja dalam keadaan persekitaran sihat dan selamat adalah terjamin.

“Ini memandangkan ketiadaan peruntukan tertentu berkenaan dengan pemberian cuti berbayar atau pun pelepasan daripada menjalankan sebarang aktiviti pekerjaan dalam situasi persekitaran yang berisiko penyakit.

“Bagi rakyat Malaysia terutamanya pekerja yang telah kembali daripada China, pihak JTK menasihatkan mana-mana majikan yang menggaji pekerja itu wajib mematuhi sebarang keputusan undang-undang yang dikenakan oleh kerajaan bagi membendung mana-mana pekerja yang disyaki terbabit dalam situasi wabak (koronavirus) di China,” jelas kenyataan itu lagi.

— BERNAMA