Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar (tengah) menerima senarai calon dari Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti Pusat, Datuk Zulkifli Alwi (dua kiri) pada sidang media Pengesahan Senarai Calon Pemilihan Parti Bersatu 2019-2021 di di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 31 JANUARI 2020

PETALING JAYA -Kebanyakan pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (bersatu) menang tanpa bertanding pada pemilihan kali pertama parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, antaranya Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi Ketua Bahagian Langkawi, Tan Sri Muhyiddin (Pagoh); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun).

Pimpinan tertinggi yang berdepan cabaran bagi merebut jawatan Ketua Bahagian adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof di Masjid Tanah dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun bagi jawatan Srikandi Sepang.

“Kalau kita tak umumkan menang tanpa bertanding bermakna dia bertanding. Kamu (wartawan) nak tanya soalan yang sudah memang lagi terang, sudah nampak terang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Mohd. Redzuan dicabar oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sementara Rina dicabar Hafiza Jusoh.

Menurut Syed Hamid, sebanyak 39 bahagian Bersatu menang tanpa bertanding.

Selain pemimpinan tertinggi, Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya bagi Bahagian Bagan; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin bagi Bahagian Ketereh, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor bagi Bahagian Tuaran; Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi Bahagian Tambun; Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya bagi Bahagian Batu dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris turut menang tanpa bertanding.

Selain itu, sebanyak 45 kerusi Srikandi di bahagian menang tanpa bertanding, dan 63 bahagian Ketua Armada juga menang tanpa bertanding.

Pemilihan yang julung kali diadakan ini menerima 11,100 borang pencalonan untuk 7,371 jawatan di peringkat bahagian.

Daripada jumlah itu, 9,452 borang yang diterima layak bertanding.

Ia melibatkan 4,631 pencalonan di semua peringkat bahagian, 2,581 bagi Srikandi dan 2,240 bagi Armada.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, tempoh bantahan kepada semua jawatan itu sehingga 14 Februari depan.

“Kalau ada bantahan itu disahihkan, calon yang dibantah itu akan digugurkan. Satu hari sebelum mesyuarat cawangan, kalau ada bantahan kena hantar sekarang. Kalau pihak kami terima selepas 14 Februari, pihak JPP akan abaikan,” katanya.

Ditanya berhubung status Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Shan Abdullah sama ada layak bertanding atau tidak, Syed Hamid berkata, mana-mana ahli yang digantung tidak layak untuk bertanding bagi semua jawatan pada pemilihan kali ini.

“Bagi jawatan ketua bahagian atau di peringkat bahagian, kami tidak menerima borang pencalonan daripada beliau,” katanya lagi.

Adhif semalam mengesahkan tidak menghantar borang pencalonan di peringkat bahagian.

Bagaimanapun, Adhif yang kini digantung tugas daripada jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Selangor berkata, beliau akan menghantar pencalonan bagi bertanding peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi. -MalaysiaGazette