KUALA LUMPUR – Bemula 12 tengah malam ini, pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) akan menikmati penjimatan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Ini bermakna bagi kenderaan persendirian mereka hanya perlu membayar RM35.51 bagi perjalanan dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Juru, Pulau Pinang berbanding RM43.30 sebelum ini.

Sumber: PLUS Malaysia Bhd.

Bagi pengguna Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) yang melalui Plaza Tol Tanjung Kupang akan menikmati diskaun tambahan di luar waktu puncak.

Jika sebelum ini, para pengguna pada waktu puncak perlu membayar kadar tol sebanyak RM7.50 tetapi selepas diskaun mereka hanya perlu membayar RM6.14 sahaja dan  sekiranya melalui plaza tol berkenaan di luar waktu puncak, kadar tol yang dikenakan hanyalah RM3.28 sahaja.

Sumber: PLUS Malaysia Bhd.

Keistimewaan tambahan ini disediakan kepada semua Kenderaan Penumpang (Kelas 1), Teksi (Kelas 4) dan Bas (Kelas 5).

Kadar tol baharu itu juga akan dilaksanakan untuk Kenderaan Penumpang serta Teksi (Kelas 2) dan Bas (Kelas 3, 4 dan 5) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

Bagi kenderaan Kelas 2 dan mereka yang bekerja di Pulau Pinang dan berdaftar dengan PLUS akan menikmati penurunan 18 peratus tersebut sebagai tambahan kepada diskaun 20 peratus telah diberikan sebelum ini.

Sumber: PLUS Malaysia Bhd.

Struktur terbaharu kadar tol bagi lebuh raya-lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP) akan dinikmati oleh kira-kira 1.7 juta pengguna setiap hari.

“Dengan penurunan tol sebanyak 18 peratus ini, PLUS akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa.

“Ini termasuklah dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuhraya dan pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuhraya kendaliannya.

“PLUS juga akan menggiatkan usahanya membantu meringankan kos hidup rakyat dan memainkan peranannya sebagai Rakan Negara dalam menyokong usaha-usaha Kerajaan untuk terus memberi manfaat dan impak yang positif kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penurunan kadar tol itu  akan dilaksanakan bagi semua Kenderaan Penumpang (Kelas 1), Teksi (Kelas 4) dan Bas (Kelas 5) dan kekal sehingga tamat konsesi. Manakala, bayaran tol bagi lori (Kelas 2 & 3) akan kekal pada kadar sedia ada dan tidak akan dinaikkan sehingga tamat Konsesi PLUS pada tahun 2058. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.