Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks Bunga Raya KLIA, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu satu sindiket penyeludupan yang bertanggungjawab membawa masuk seramai 65 imigran warga negara Bangladesh yang dikesan dan diselamatkan pihaknya di Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis sedang melihat dan mengandakan usaha menyiasat insiden itu.

“Kita akan menggunakan segala akta dan undang-undang yang ada Antipsom dan sebagainya akan mengambil tindakan ke arah sindiket yang tidak bertanggungjawab itu.

“Kita sedar ada wujud kemungkinan lebih ramai dijangka akan (diseludup) masuk pada masa akan datang.

“Kita akan memperketatkan kawalan keselamatan di sebelah utara itu dengan kerjasama Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) siri 26/2019 di Pekarangan Kompleks Bunga Raya. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim.

Tambah Abdul Hamid, pihaknya ada menerima maklumat wujud cubaan lebih ramai lagi migran asing memasuki ke dalam negara ini.

“Semua nak masuk, koronavirus nak masuk.. semua cuba nak masuk ke dalam negara, kita akan memperketatkan kawalan dan bertindak secara efisien dalam perkara ini tanpa kompromi,” tegasnya.

Ditanya mengenai cadangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menyatakan kesediaan mengkaji untuk meningkatkan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk, Abdul Hamid menyokongnya.

Katanya, isu memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga membawa kematian nyawa lain satu perkara serius yang perlu ditangani.

“Saya sokong Kementerian Pengangkutan untuk memperketatkan undang-undang.. Kalau negara besar seperti Amerika Syarikat serius tangani kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol, kenapa tidak kita di negara ini?

“Namun saya tak dapat nak komen mengenai cadangan desakan parti politik yang mahu penjara seumur hidup dijatuhkan ke atas pemandu mabuk menyebabkan kematian.

“Kalau ada cadangan biarlah ahli-ahli parlimen sendiri berdebat selepas terima hujah dan nasihat pakatr keselamatan jalan raya dan input agensi agensi berkaitan, serta terpulang kepada ahli-ahli Parlimen nak bawa usul bentang isu ini tapi kami PDRM mahukan supaya hukuman itu ditingkatkan lagi,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast