Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis : Fakta dan Pengajaran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff mengakui bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari lalu kerana pengalamannya sebagai parti politik paling berkuasa di dunia.

Yusmadi selaku bekas ahli Parlimen Balik Pulau berkata, kekuatan BN dalam memenangi lima PRK berturut-turut dapat dilihat daripada jentera parti yang tersusun dan sentiasa bersiap siaga hingga ke akar umbi.

“Bagi saya UMNO parti politik paling berkuasa di dunia, tak pernah kalah. Dalam dunia parti di Jepun kalah, saya berada di Sepanyol, Indonesia, Mesir dan merentasi seluruh dunia, UMNO baru sekali kalah, hilang kerajaan sekali.

“Sangat berkuasa, apa maksudnya? UMNO sangat berpengalaman, jentera dan akar umbi sangat membantu.

“Saya nampak perkara itu di Tanjung Piai, saya nampak di Kimanis, saya nampak dalam banyak pilihan raya termasuk PKR,” katanya bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Pada PRK Parlimen Kimanis 18 Januari lalu, calon BN, Datuk Mohamad Alamin berjaya menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.

Sementara itu, Yusmadi turut berkongsi perbualannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bahawa BN menang dalam beberapa pilihan raya kerana jentera parti yang tersusun.

“Saya masih ingat beberapa minggu sebelum pilihan raya, saya bercakap dengan Tun Dr Mahathir, ada maklumat dalaman, dapat laporan Merdeka Report, Ilham Centre.

“Dia kata tahu tak macam mana kita menang pilihan raya semasa saya dalam BN? Ini kerana jentera kita sangat bersiap siaga

“Awak pembangkang ketika itu tak boleh susun jentera. Saya masih ingat pada masa itu,” katanya lagi.

Yusmadi turut menolak dapatan bahawa Muafakat Nasional menyumbang kemenangan BN di Kimanis.

Katanya, menang atau kalah di parlimen itu hanya berkisar kepada tiga perkara iaitu ‘jentera pilihan raya’ jentera pilihan raya’ dan ‘jentera pilihan raya’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast