Arkib: Pesawat Baru AirAsia di Sepang Aircraft Engineering (SAE), Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Airbus didakwa telah merasuah pegawai-pegawai AirAsia dan AirAsia X sebanyak AS$50 juta (kira-kira RM204.8 juta) bagi mendapatkan kontrak untuk membekalkan pesawat kepada syarikat penerbangan tambang murah itu.

Menurut laporan theedgemarkets.com, dana tersebut digunakan untuk menaja sebuah pasukan sukan yang tidak dinamakan.

Pasukan tersebut dimiliki oleh dua individu yang dikenal pasti sebagai Eksekutif AirAsia 1 dan Eksekutif AirAsia 2.

Kedua-dua individu tersebut bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dari segi undang-undang dengan AirAsia atau AirAsia X, lapor theedgemarkets.com yang mendakwa telah melihat dokumen-dokumen berkaitan daripada mahkamah United Kingdom.

“Di antara Oktober 2005 dan November 2014, AirAsia dan AirAsia X telah menempah 406 pesawat daripada Airbus termasuk 180 pesawat yang diperolehi semasa tempoh yang didakwa berlakunya pembayaran tidak mengikut wajar (yang dibuat oleh EADS France SAS dan kemudiannya Airbus Group SAS) serta satu lagi pembayaran tidak wajar.

“Pembayaran tersebut merangkumi pembayaran sebanyak AS$50 juta (kakitangan Airbus turut membuat tawaran sebanyak AS$55 juta tetapi tidak membayarnya) kepada pengarah-pengarah dan/atau pekerja AirAsia dan AirAsia X sebagai tajaan pasukan sukan tersebut.

“Pasukan berkenaan dimiliki bersama oleh Eksekutif AirAsia 1 dan Eksekutif AirAsia 2 tetapi secara undang-undang mereka tidak mempunyai kaitan dengan AirAsia dan AirAsia X.

“Pembayaran tidak wajar tambahan itu berjaya dihalang pada Oktober 2014 dengan pembekuan pembayaran kepada rakan-rakan kongsi perniagaan,” kata dokumen tersebut.

The Telegraph pula memetik satu emel daripada seorang eksekutif kepada seorang pegawai kanan Airbus yang mana eksekutif tersebut berkata, beliau telah “bosan” dan “telah berhutang empat juta dan secara keseluruhan berhutang sebanyak 16 juta.”

“Ia sepatutnya telah dibayar bertahun-tahun lalu apabila saya membeli 60 pesawat pertama. Saya mahukan wang saya semula,” katanya.

AirAsia dan AirAsia X merupakan antara beberapa syarikat penerbangan yang terlibat dalam penyiasatan antarabangsa terhadap Airbus bagi membendung gejala rasuah dalam perniagaan antarabangsanya.

Ia melibatkan rangkaian orang tengah yang merasuah pegawai-pegawai dari 20 negara untuk mendapatkan kontrak pembekalan pesawat. – Agensi