Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa penilaian tender Pengurusan Fleet Kenderaan Kerajaan telah membentangkan calon pembida yang layak untuk dipertimbangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk diberi kelulusan.

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir, kerajaan masih lagi berunding dengan pembida bagi memuktamadkan konsesi pengurusan fleet kerajaan Malaysia.

Sebanyak lapan buah syarikat telah mengemukakan Request For Proposal (RFP) dan telah melalui beberapa peringkat penilaian termasuk penilaian teknikal dan komersial.

Keutamaan akan diberikan kepada kereta Proton bagi kegunaan Menteri dan Timbalan Menteri dan bukannya Toyota Vellfire seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, katanya.

“Jawatankuasa penilaian tender yang dianggotai oleh penjawat awam kanan dari pelbagai agensi terlibat sebagai penilai termasuklah Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Perancang Ekonomi (kini dikenali sebagai Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta Kementerian Kewangan sebagai peneraju utama, seterusnya telah memilih pembida yang layak untuk dipertimbangkan sebagai syarikat konsesi yang baharu.

“Susulan itu, keputusan jawatankuasa penilaian tender tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk   pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, konsesi Fleet Kenderaan Kerajaan Malaysia telah diuruskan oleh SPANCO  Sdn.  Bhd.  (SPANCO)  sejak 25 tahun lalu melalui  Perjanjian  Konsesi  antara  Kerajaan Malaysia dan syarikat berkenaan telah tamat  pada  31 Disember 2018.

Susulan itu, kerajaan memutuskan syarikat konsesi yang bakal menguruskan fleet kenderaan kerajaan dipilih secara Request For Proposal (RFP) yang dilaksanakan secara tender terbuka.

Ini bermakna pemberian tender terhad atau tender secara terus yang menjadi amalan kerajaan selama ini akan dihentikan.-MalaysiaGazette