Mohd Kamarudin Md Din.

JOHOR BAHRU – Polis negeri ini telah membuka kertas siasatan berhubung laporan kejadian kekecohan membabitkan sekumpulan pemuda berpakaian t-shirt hitam pada program rapat umum Armada Johor yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram malam tadi.

Ketua Polis, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kertas siasatan itu dibuka di bawah empat seksyen iaitu Seksyen 153, Seksyen 355, Seksyen 357 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, kumpulan pemuda itu melakukan dengan sengaja menimbulkan kekecohan dan turut melaungkan kata-kata yang boleh membangkitkan kemarahan, berunsurkan ugutan dan berkelakuan agresif di tempat kejadian.

“Pihak polis telah menubuhkan satu task force khas bagi menyiasat dan mengenalpasti kesemua suspek yang terlibat dalam insiden tersebut, polis akan menyiasat secara telus, tegas, berintegriti serta tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, polis akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang tanpa sebarang kompromi terhadap suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Mohd. Kamarudin berkata, menurut laporan diterima pihaknya, kejadian berlaku di sebuah tapak perkhemahan hutan Savannah Hill Resort di antara pada pukul 9 hingga 11.30 malam.

Menurutnya, polis menerima laporan menyatakan semasa majis itu sedang berlangsung, sekumpulan pemuda berpakaian t-shirt hitam dianggarkan seramai 100 hingga 150 orang telah memasuki kawasan program dan telah melakukan provokasi dan kekecohan.

“Walau bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan secara profesional tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Bila polis nak tubuh pasukan petugas khas siasat MENTERI yang MENIPU hapus tol?

    Dari segi PRIORITY kes serius ini perlu didahulukan kemudian baru kes Syed Saddiq lari ikut lorong tikus dan lompat pagar!

    Rakyat didahulukan!!!

Comments are closed.