Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan sama ada mahu mengharamkan rokok elektronik, selain merangka satu rang undang-undang yang khusus untuk alat berkenaan pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, seluruh dunia mempunyai pandangan berbeza mengenai rokok elektronik dan keadaan itu juga menyebabkan kerajaan Malaysia belum membuat keputusan mengenainya.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan kerajaan mempunyai tiga kemungkinan: larangan sepenuhnya, membenarkan rokok elektronik tetapi mengharamkan kandungan nikotin, membenarkan rokok elektronik dengan kandungan nikotin.

Boon Chye berkata, Singapura memilih mengharamkan rokok elektronik, satu pendekatan yang dapat mengurangkan pendedahan orang muda terhadapnya, tetapi pada masa yang sama mengurangkan pilihan untuk perokok.

Katanya, pendekatan kedua iaitu hanya membenarkan rokok elektronik tanpa kandungan nikotin pula mengehadkan jualan kerana perokok masih mahu mencari rokok dengan nikotin.

Jelasnya, pendekatan ketiga pula mencontohi amalan di Britain iaitu membenarkan penjualan rokok elektronik.

“Pada masa ini belum ada akta yang mengawal kandungan rokok elektronik dan kerajaan juga tidak boleh menetapkan standard.

“Ini bermakna pengusaha boleh menambah bahan berbahaya ke dalam rokok elektronik,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Boon Chye berkata, Akta Makanan 1983 yang mengawal rokok adalah cukup lengkap dan sebahagian kandungannya boleh diadaptasikan dalam rang undang-undang mengenai rokok elektronik.

Jelasnya, nikotin pula dikawal melalui Akta Racun 1952 dan ia perlu dipinda jika kerajaan membenarkan penjualan rokok elektronik dengan kandungan nikotin.

“Kerajaan akan mengenal pasti sama ada mahu melarang rokok elektronik sebelum merangka undang-undang baharu,” katanya.

Sementara itu, Boon Chye berkata, beliau sedia menghadapi semua kritikan yang dilontar terhadapnya oleh perokok atas usahanya dalam menguat kuasa larangan merokok di kedai makan.

“Ia adalah biasa jika ada orang yang sokong dan ada yang membantah satu polisi.

“Saya bagaimanapun berharap mereka yang membantah dapat berbincang secara rasional. Kami mahu orang ramai mengetahui kenapa larangan merokok dikuatkuasakan,” katanya. – MalaysiaGazette