Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyambut baik dan bersyukur dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap pembangunan semula Kampung Baru.

Pada masa sama, Perkasa menggesa kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akur dengan titah itu agar pembangunan di kawasan itu perlu mengambilkira kepentingan Melayu.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, mengetepikan titah itu bermakna menderhaka kepada YDPA dan Perkasa bersedia mempertahankan kepentingan Melayu di Kampung Baru.

“Kita mahu sebarang perancangan pembangunan Kampung Baru hendaklah dipersembahkan kepada YDPA terlebih dahulu agar Seri Paduka sedia maklum mengenai bagi memastikan ia selari dengan titah baginda demi kepentingan Melayu di kawasan itu.

“Perkasa juga berharap titah baginda yang mahu Kampung Baru menjadi simbol penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur sentiasa ditanam dalam jiwa setiap pemimpin pemerintah dan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab membangunkannya nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam titah YDPA pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 semalam, baginda bertitah menyatakan sokongan terhadap pembangunan Kampung Baru.

Perkara itu dijelaskan Menteri Wilayah, Abdul Khalid Samad yang menyatakan sokongan itu membuktikan usaha kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru tidak merugikan orang Melayu.

Beliau menegaskan, sokongan itu, selain perkenan Sultan Selangor Sultan Sarafuddin Idris Shah sebelum ini membuktikan dakwaan kononnya pembangunan semula Kampung Baru akan merugikan orang Melayu adalah tidak benar.

Mengulas lanjut, Syed Hassan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan baginda yang  mahukan kepentingan Melayu di Kampung Baru terperlihara.

Katanya, Perkasa juga mohon ampun perkenan baginda untuk bertitah kepada kerajaan agar segera mengembalikan tanah rizab Melayu yang telah diambil untuk pembangunan awam dengan jumlah keluasan begitu besar sekali, yang mana tidak sampai 15 peratus baki yang tinggal.

“Perkasa melihat kedudukan Tanah Rizab Melayu sangat bergantung harap kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengembalikannya semula kepada jumlah asal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Putra Wilayah Persekutuan, Mohamed Harmy Yusoff menjunjung titah ucapan tuanku yang menunjukkan kasih baginda tidak pernah putus kepada rakyat Kampung Baru.

Katanya, baginda mengambil berat bahawa Kampung Baru akan kekal menjadi milik orang Melayu dengan segala warisan seni bina dan budaya Melayu akan diperkasakan.

Beliau berharap, kerajaan akan berusaha dan komited terhadap pembangunan Kampung Baru sebagaimana disembah maklum kepada baginda.

“Putra menjunjung duli akan pesanan dan kebijaksanaan tuanku menegaskan mengenai hak dan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru. Bagaikan hilang gelap, muncul terang bagi masa depan rakyat kawasan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast