LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan tindakannya melepaskan Marcos Rojo dengan status pinjaman kepada Club Estudiantes de La Plata sebagai langkah yang tepat untuk pemain itu.
Pengurus dari Norway itu percaya bahawa pengerusi kelab itu Juan Sebastian Veron akan dapat membantu pemain pertahanan itu meningkatkan prestasinya kembali.
Veron merupakan bekas rakan sepasukan Solskjaer ketika bersama United.
Bekas bintang Argentina yang kini berumur 44 tahun pernah bersama Red Devils, dari tahun 2001 hingga 2003.
“Rojo masih bermain dengan cara yang sama, dia sangat teruja dan benar-benar sukakan perlawanan. Dia perlu bermain sekarang,” kata Solskjaer seperti yang dilaporkan oleh laman web kelab rasmi.
“Estudiantes adalah rumahnya, Veron akan menjaganya untuk kami, saya yakin apabila dia kembali, kami akan mendapat Rojo dalam keadaan yang lebih sihat daripada sebelumnya,” katanya.
Solskjaer juga mendedahkan alasan Rojo meninggalkan Old Trafford adalah kerana inginkan minit permainan bagi mendapat tempat untuk bermain di Copa America.
“Dia berharap dapat bermain di Copa America dengan Argentina, dia suka bersaing dan ini peluangnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















