Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendengar sesuatu daripada Datuk Nik Mohd Amar Abdullah (kanan) pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional Wilayah Persekutuan di Padang Permainan Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau hanya ingin berdialog dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, ia bukan sesi debat dalam menentukan siapa yang menang namun lebih kepada sesi mencari kebenaran.

“Kita nak cari kebenaran sebab TH milik semua rakyat. Mereka berhak tahu kebenaran, jadi segala tuduhan jahat Pakatan Harapan dan Mujahid elok kita penontonkan kepada rakyat.

“Saya bentangkan hujah kepada rakyat apa yang berlalu dahulu (masa BN) dan dia bentangkan (masa PH) biar rakyat menilai. Dia tidak mahu berdialog dengan saya sebab dia kata saya setakat Ketua Pemuda sahaja,” katanya dalam siri ceramah Muafaakt Nasional peringkat Wilayah Persekutuan malam tadi.

Asyraf sebelum ini mencabar Mujahid untuk sesi berdebat mengenai isu Tabung Haji pada Jumaat lalu.

Mujahid bagaimanapun menolak cabaran itu dengan berkata beliau bersedia untuk menyusun pertemuan dengan golongan profesional yang bertanggungjawab menguruskan anak syarikat TH, Tabung Haji Plantation.

Asyraf yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata ada pihak yang mahu beliau ganyang Menteri Hal Ehwal Agama itu secukupnya.

Ia kerana banyak tuduhan-tuduhan Mujahid kepada Barisan Nasional (BN) yang dianggap tidak benar semasa kerajaan itu memegang pentadbiran Tabung Haji.

“Ada orang pesan kepada saya suruh ganyang Mujahid cukup-cukup (mengenai isu Tabung Haji), saya bukan nak ganyang dia.

“Saya kecil hati sebab dia tuduh macam-macam, timbalan menteri yang lepas, dan kerajaan BN yang lepas punca tabung Haji jatuh dan rugi.

“Kita nak tanya balik kepada dia, sebelum kerajaan PH naik betul ke TH rugi, rakyat tidak pernah terima dividen kurang daripada 6.25 peratus hibah campur bonus secara purata,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Asyraf pada sidang medianya mencabar Mujahid berdebat dengan mengenai Tabung Haji yang dikatakan menghadapi defisit dan berlaku penyelewengan ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga turut mendesak Mujahid menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya betul berlaku penyalahgunaan kuasa ketika beliau memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Asyraf boleh dialog tapi bukan dengan saya – Mujahid