Zainal Abidin (tiga dari kiri) dengan barisan kepimpinan YBK meraikan pemenang logo baharu yayasan.

KUALA LUMPUR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) melancarkan logo baharu sempena sambutan ke-20 yayasan itu yang ditubuhkan pada Mac 1990.

Sepanjang beroperasi, YBK telah menyantuni ribuan anak yatim, keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan belia tercicir di seluruh negara.

Menurut Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom, dalam usaha menjadi sebuah yayasan yang mantap dan berkesan, YBK telah  melaksanakan pelbagai program berteraskan sosio ekonomi serta pendidikan.

Kata beliau, logo baharu yang dilancarkan semalam adalah pemenang kepada pertandingan mencipta Logo 30 Tahun YBK yang dilangsungkan November lalu.

Katanya, rekaan logo 30 tahun itu diilhamkan daripada logo YBK itu sendiri iaitu warna biru, merah dan kuning, manakala angka 30 adalah simbolik semangat juang kental dan berjiwa besar bagi memastikan YBK kekal relevan di mata masyarakat.

“Tambahan warna hijau pula adalah simbol warna 30 tahun dan reben yang mengelilingi logo tersebut melambangkan jalinan ‘ukhwah fillah’ antara sahabat YBK yang bersama dalam suka duka sejak 1990 sehingga 2020.

“Pada awal penubuhannya, YBK melihat punca utama masalah kemiskinan di Selangor ketika itu disebabkan keluarga miskin tiada tempat berteduh yang kondusif.

“Justeru, YBK mengorak langkah dan mengambil inisiatif sehingga terbinalah kira-kira 1,000 unit rumah di Lindungan Kasih di Sabak Bernam dan sembilan penempatan Desa Kasih di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette di sini, hari ini.

Menurut Zainal Abidin, penubuhan Asrama Kasih YBK di Serendah dan Gesir, Pusat Latihan di Kuala Selangor serta Akademi Kemahiran di Gesir pula menyaksikan 6,500 pelajar miskin dan belia tercicir berjaya dibantu dari segi peningkatan tahap pendidikan dan pembangunan sahsiah diri.

Program Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (KUNTUM) dan Fastrack pula katanya, menyediakan tuisyen dan kelas secara tersusun kepada pelajar miskin terpilih di seluruh negara.

“Peranan dan perjuangan YBK dilihat belum selesai. Ini kerana, melihat kos sara hidup pada ketika ini yang meningkat mengakibatkan kumpulan miskin meningkat khususnya miskin bandar dan B40.

“Dengan cabaran tahun 2020 dan pendekatan Revolusi Industri 4.0 banyak menekan dan mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan yang akhirnya membawa kepada hilangnya punca pendapatan.

“Oleh itu, YBK terus berfungsi melaksanakan pelbagai program tahunan berbentuk ‘laman amal’ bagi mendidik jiwa masyarakat untuk sama-sama berkongsi rasa dengan individu dan keluarga yang memerlukan,” katanya.

Antara program itu kata Zainal Abidin ialah Santuni Gelandangan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur; motivasi percuma kepada pelajar melalui Program Motivasi Semangat Mendaki.

Program lain ialah Apabila Tibanya Ramadan dan Sinar Kasih Ramadan (SKR) yang menjadi fokus dengan YBK menyediakan keperluan belanja bersahur dan berbuka puasa bagi keluarga miskin terpilih.

“Kita juga menyediakan program ‘YBK Eye’ iaitu pemberian cermin mata percuma kepada pelajar kurang berkemampuan di Selangor,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia dapat bersama memberi sokongan dan menggembeleng usaha bagi mencapai aspirasi YBK untuk membasmi kemiskinan serta membina kesejahteraan hari ini dan di masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast