KUALA LUMPUR – Pas minta penjelasan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung dakwaan kenaikan harga simen yang berlaku sejak tahun lepas.
Berdasarkan laporan dari analisis institusi kewangan, harga simen bagi satu metrik tan ialah RM190 pada September 2019, kemudian meningkat kepada RM210 hingga RM230 pada Oktober 2019.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan itu menunjukkan kenaikan telah berlaku lebih kurang 40 peratus sejak Jun lalu.
“Jika benar kenaikan berlaku, KPDNHEP harus bertanggungjawab dan menjelaskan sama ada kenaikan itu mendapatkan kelulusan atau tidak.
“Sebarang kenaikan harga simen bukan keputusan mutlak syarikat pengeluar tetapi tertakluk kepada syarat khas di bawah Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, isu kenaikan harga simen pernah ditimbulkan Jun lalu namun ditolak oleh KPDNHEP.
Katanya, adakah kenaikan terbaharu yang berlaku sejak Suku Keempat 2019 dibenarkan secara senyap-senyap oleh KPDNHEP.
“Pengeluaran simen dikuasai oleh YTL Group (YTL Cement) yang mendominasi kira-kira 60 peratus pasaran di Malaysia. Kenaikan drastik akan menyebabkan kesan berganda kepada sektor lain terutama sektor pembinaan hartanah kediaman,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, prospek kenaikan harga akhir akan berlaku dan membebankan rakyat.
Oleh itu, Pas meminta penjelasan segera daripada pihak kementerian terbabit berhubung perkara ini. – MalaysiaGazette
















