Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat pemeriksaan kawalan harga pada Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Penguatkuasa Bersepadu dan Lawatan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di NSK Trade City, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 26,872 premis perniagaan perniagaan borong dan runcit telah dipantau di seluruh negara sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020.

Sepanjang pemeriksaan ke atas 26,872 premis berkenaan dari 20 Januari hingga 2 Februari lalu, sebanyak 271 kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dalam kenyataan hari ini, skim tahun ini telah ditambahbaik dengan tambahan tempoh kawalan daripada 10 hari kepada 14 hari dan tambahan barangan kawalan daripada 13 kepada 16 barangan keperluan utama.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina ini, 2,300 lebih pegawai Penguatkuasa Kementerian telah melakukan pemantauan setiap hari di premis-premis perniagaan seluruh negara bagi memastikan para peniaga patuh dengan harga kawalan yang ditetapkan.

“Bagi SHMMP Tahun Baru Cina 2020, sebanyak 26,872 premis perniagaan borong dan runcit seluruh negara telah diperiksa dan 271 kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan.

“Daripada 271 kesalahan itu, 6 adalah kes menjual melebihi harga maksimum, 217 adalah kes tidak mempamerkan tanda harga khas dan 48 adalah kes tidak mempamerkan tanda harga.

“Untuk 271 kesalahan yang dicatat, RM 36,200.00 jumlah kompaun telah dikeluarkan dan jumlah barangan rampasan bernilai RM 30,324.17 direkodkan,” kata beliau.

Tambah Saifuddin, walaupun Skim Harga Maksimum berkenaan sudah tamat, pegawai-pegawai Penguatkuasa Kementerian akan meneruskan pemantauan di premis-premis perniagaan bagi menangani sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau menasihati para peniaga supaya terus beretika dan mematuhi undang-undang yang berkaitan.

“Saya menyeru para pengguna untuk peka dan mengadu kepada KPDNHEP menggunakan mana-mana 9 saluran aduan Kementerian termasuk Whatsapp di 019-2794317 sekiranya terjumpa sebarang insiden kenaikan harga tidak munasabah oleh peniaga.

“Saya juga menyarankan para pengguna agar memuat turun aplikasi perbandingan harga yang dibangunkan oleh KPDNHEP iaitu price catcher bagi membuat perbandingan harga dan mendapatkan nilaian terbaik untuk setiap pembelian mereka,” tegasnya.-MalaysiaGazette