Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bersalaman dengan orang ramai semasa hadir pada Forum Hal Ehwal Antarabangsa di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 FEBRUARI 2020.

PETALING JAYA – Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyatakan rasa kagum dengan transformasi pembaharuan yang membabitkan rakyat berbilang kaun dan agama di Malaysia.

Kata Imran, transformasi yang dibawa Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengubah takdir dan gaya hidup rakyat di negara yang  hidup dalam suasana aman dan harmoni serta bertolak ansur.

“Mahathir adalah contoh pemimpin yang dianggap telah mengubah kehidupan rakyatnya di Malaysia dan kita dapat lihat sendiri hari ini betapa hebat beliau berjaya membawa transformasi terhadap negara dan rakyat di sini.

“Saya kagum dengan cara negara ini dibangunkan dengan begitu teratur dan tersusun sehingga menjadi satu masyarakat bertamadun menjadi contoh kepada dunia hari ini yang perlu dicontohi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sesi dialog bertajuk ‘Visi Keselamatan dan Keamanan Serantau’ di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa hari ini.

IMran berkata, keharmonian yang dibentuk Dr. Mahathir adalah contoh terbaik untuk masyarakat bertamadun.

“KIta ingin pandang semula ke arah sejarah zaman emas Islam yang mana ada pelbagai agama berbeza hidup bersama dengan menerima konsep bertolak ansur sesama mereka.

“Agama adalah sesuatu yang melibatkan hati dengan pemikiran dan di Malaysia kita jelas menyaksikan sendiri sikap toleransi sesama rakyat yang hidup di negara ini sesuatu yang saya kagum sehingga hari ini dan harus dicontohi semua,” katanya. -MalaysiaGazette