Pengurus Kanan Bahagian Perkhidmatan Terminal KLIA, Abd Hasman Abd Muhimim bercakap kepada media pada Proses Pembersihan Sanitari bagi mencegah penularan wabak Koranavirus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 FEBRUARI 2020

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meningkatkan tahap kebersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sejak 25 Januari lalu susulan penyebaran wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) yang melanda China.

Pengurus Kanan Operasi, Bahagian Perkhidmatan Terminal MAHB, Abd Hasman Muhimin berkata, pihaknya telah menambah proses pembersihan sedia ada dengan pembersih tangan anti bakteria bagi menjaminkan keselamatan penumpang dan kakitangan di kedua-dua lapangan terbang itu.

Jelas beliau, ia melibatkan kawasan seperti kerusi menunggu, butang lif, pemegang troli dan eskalator serta meja daftar masuk.

“Ketika ini seramai 1,200 kakitangan pembersih bekerja selama 24 jam melibatkan dua shif di KLIA dan klia2.

“MAHB tidak membekukan cuti kakitangan namun mereka perlu bekerja lebih masa jika terdapat kakitangan lain yang bercuti dalam usaha memastikan jumlah kakitangan mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat bersama media mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sempena taklimat, rombongan media turut dibawa melihat cara-cara pembersihan di KLIA melibatkan pemegang troli dan butang lift.

Abd Hasman menambah kakitangan pembersihan perlu mengikut laluan yang ditetapkan bagi mengelak tiada kawasan yang tidak dibersihkan.

Jelas beliau, kawasan yang menjadi tumpuan untuk dibersihkan adalah laluan pertukaran penerbangan.

“Kakitangan pembersihan akan melakukan kerja-kerja mereka mengikut point ke point bagi memastikan semua kawasan dibersihkan.

“Kami yakin tahap kebersihan adalah terkawal ketika ini bagi memberi keselesaan kepada penumpang, orang ramai dan pekerja yang bekerja di KLIA dan klia2,” katanya. – MalaysiaGazette