KUALA LUMPUR – Seorang pesakit kanak-kanak warga China yang disahkan mengidap koronavirus, 2019-nCoV di hospital Sultanah Maliha, Langkawi dibenarkan pulang setelah hasil ujian pengesanan ulangan virus itu yang dijalankan ke atasnya sebanyak dua kali ini didapati negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, kes ini menunjukkan bahawa jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di China.

Berikutan itu, katanya, tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat.

“Beliau kini berada dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 29 Januari 2020, satu kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warga China telah dilaporkan positif bagi jangkitan 2019-nCoV dan pesakit dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Dalam tempoh rawatan dan pemantauan ini, sampel klinikal telah diambil semula sebanyak dua kali berturut-turut, katanya. – MalaysiaGazette