Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wartawan wanita menjadi individu pertama didakwa di Mahkamah Majistret ini hari ini atas tiga pertuduhan menyebar berita palsu dipercayai berkaitan koronavirus bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Tawfiq Affandy Chin dan mohon dibicarakan.

Dengan wajah tenang, Wan Noor Hayati mahu beliau dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, beliau dituduh membuat tiga pernyataan berasingan menggunakan laman sosial Facebook atas nama ‘Ibu Yati’.

 

Wan Noor Hayati  didakwa membuat pernyataan itu dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam atau mana-mana golongan awam.

 

Kesemua tuduhan itu di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 505 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Pada awalnya, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azma meminta mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh kerana keseriusan tuduhan tersebut.

 

Wan Noor Hayati tidak diwakili oleh mana-mana peguam bagi pihak dirinya ketika ini.

Bagaimanapun, hakim membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Buat seketika, Wan Noor Hayati kelihatan bimbang kerana kekurangan wang untuk jaminan.

Namun, sekumpulan wartawan dan dengan bantuan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) berjaya mengumpul wang.

Wan Noor Hayati membayar wang jaminannya kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mahkamah juga telah menetapkan sebutan kes itu pada 11 Mac ini.

Wan Noor Hayati pernah menjadi pemenang Hadiah Kajai pada tahun 2014 – anugerah paling berprestij dalam kewartawanan Malaysia. –MalaysiaGazette