Gambar hiasan.
TAIPING – Gara-gara tertembak isteri sehingga menyebabkan kecederaan di lengan kiri, seorang kapten kapal ditahan kerana memiliki dua laras senapang dan dua pucuk pistol tiruan, serta 160 butir peluru logam, di sebuah rumah, di Taman Desa Murni, Kamunting, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan pada pukul 1 tengah hari semalam, selepas doktor yang merawat isterinya membuat aduan wanita berkenaan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Colombia, di sini.

“Ketika kejadian, suspek sedang membersihkan sepucuk senapang yang mengandungi sebutir peluru, tiba-tiba tertembak isterinya yang merupakan seorang guru sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), berumur 30-an,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, hari ini.

Katanya, menerusi serbuan Ops Limau Senjata Tiruan, polis menemukan dua pucuk senapang jenis Auto dan Semi Auto, dengan dua kelopak peluru, sepucuk pistol tiruan jenis Glock Inc Smyra Ga buatan Australia dengan satu kelopak peluru dan sepucuk pistol tiruan jenis Pietro Beretta Gardone V.T buatan Itali, berserta dua kelopak peluru.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek yang bekerja di Terengganu itu, aktif membeli senjata tiruan tersebut secara dalam talian selain mempunyai minat dan hobi terhadap senjata berkenaan, sejak dua tahun lalu.

“Difahamkan sebelum ini, suspek membeli selaras senapang dengan harga RM2,000 dan siasatan dijalankan mendapati suspek bercadang membeli sepucuk senapang M16 dengan harga RM18,000,” katanya sambil menambah suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Osman berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 iaitu memiliki dan mengimport senjata tiruan serta Seksyen 37 akta yang sama, kerana menyebabkan kecederaan dengan sepucuk senjata tanpa alasan yang sah.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya telah menumpaskan dua kumpulan dikenali Hafiz Axia dan Fikri 125Z yang bergiat aktif melakukan jenayah curi kenderaan di daerah ini, selepas menahan lima lelaki serta seorang wanita menerusi Ops Lejang, di sini.

Beliau berkata, dalam serbuan yang dilakukan di sebuah hotel di sini, pada 6.30 petang, 20 Jan, telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 33 tahun daripada Kumpulan Hafiz Axia berdasarkan hasil risikan polis.

“Kumpulan ini terbabit dengan curi kenderaan selain lapan kes pecah cermin kereta membabitkan kerugian berjumlah RM150,000 di sekitar bandar Taiping yang aktif sejak awal tahun lepas,” katanya.

Osman berkata, hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa ke Bandar Tasek Mutiara, Simpang Empat di Pulau Pinang, pukul 5 petang, pada 24 Jan dan menemukan dua buah komputer riba yang telah disembunyikan, hasil pecah cermin kereta di kawasan Masjid Kamunting.

Pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Honda HRV, 13 gram dadah jenis Methaphetamine, tiga keping kad pengenalan mangsa dan tiga keping lesen memandu mangsa selain dua palam pencucuh yang digunakan untuk memecahkan cermin kereta, tiga pasang sarung tangan dan satu pemutar skru, katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini dan akan disambung lagi mengikut Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 379A dan 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata, dua lelaki berusia linkungan 30-an yang menganggotai Kumpulan Fikri 125Z ditahan kerana terbabit dalam tujuh kes curi motosikal membabitkan kerugian berjumlah RM20,000 di sekitar daerah ini.

Beliau berkata,  suspek pertama ditahan ketika menunggang sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Simpang, Taiping dan di Kawasan Kampung Benggali di sini, pukul 6.30 pagi, pada 28 Jan manakala seorang lagi ditahan di sebuah rumah dekat Taman Sungai Mas di sini pada pukul 9.30 pagi, pada hari yang sama.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek telah membawa polis ke kawasan semak berhampiran sebatang anak sungai di Kampung Benggali pukul 2.30 petang pada 30 Jan dan menemukan semula tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang di bandar ini dan Pokok Assam,” katanya sambil menambah kumpulan itu aktif dengan kegiatan mencuri sejak pertengahan Disember tahun lepas.

Katanya, kedua-dua mereka berumur 30-an ditahan reman sehingga hari ini dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette