PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan provokasi dan kekecohan ketika perarakan pedati Perak sempena perayaan Thaipusam yang bermula esok.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang berniat menimbulkan kekacauan bagi memastikan perarakan yang bermula pukul 10 malam itu berjalan lancar dan semua pihak dinasihatkan menjaga sensitiviti kaum.

“Berdasarkan pengalaman lepas, kami mendapati ada pihak yang melakukan kesalahan seperti membuat bising dan minum arak di tempat terbuka. Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas bagi kesalahan itu mengikut peruntukan undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Shanmugamoorthy berkata perarakan rombongan pergi ke Kuil Sri Maha Mariamman dijangka memasuki laluan serta kawasan pentadbiran Sentul antara 4 atau 5 pagi Khamis ini.

“Kawalan keselamatan di pihak kami (Sentul) bermula di laluan Jalan Tun Razak berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell menuju ke Jalan Sultan Azlan Shah, persimpangan Pekan Batu 5 Jalan Ipoh, Jalan Kuching hingga ke Bulatan Batu Caves.

“Bagi perarakan pulang pula yang dijangka antara 6 petang hingga 10 malam pada Ahad ini, ia membabitkan laluan sama kecuali berlaku lencongan di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Jalan Batu Kentomen dan (rombongan) akan keluar ke SMK (Perempuan) Jalan Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, penutupan jalan dan lencongan ini turut melibatkan kerjasama pihak Kuil Sri Maha Mariamman, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) susulan laluan itu membabitkan kawasan pembinaan MRT di Batu Kentomen.

Katanya, seramai 700 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ditugaskan bagi melakukan kawalan dan menjaga keselamatan ketika perarakan perayaan itu.  – MalaysiaGazette