KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia memuji langkah diambil MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dengan menyediakan penginapan lebih selesa dan mempunyai ciri keselamatan yang terjamin kepada pekerja binaannya.
Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, majikan lain juga harus mengikut langkah itu bagi memberi kemudahan kepada semua pekerja mereka tanpa mengira jawatan.
“Tahniah kepada MRT Corp yang berjaya mewujudkan penempatan pekerja di sini dalam satu kawasan yang agak luas dengan menyediakan segala kemudahan seperti bilik, tilam, kantin dan menjaga keselamatan mereka.
“Ini akan menarik minat anak muda tempatan untuk bekerja dalam bidang binaan kerana mereka tidak perlu bimbang dengan tempat penginapan, kemudahan makan minum dan berehat.
“Penginapan yang MRT Corp sediakan ini bukan diperbuat dari kayu, papan lapis atau zink sebagaimana rumah kongsi yang lain, sebaliknya daripada bahan binaan yang mengikut standard,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan merasmikan Kuarter Pekerja Setempat MRT Corp Serdang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Abdul Yazid Kassim dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim.
Menurut Mahfuz, kuarter itu menempatkan sejumlah pekerja warga asing dan tempatan, yang tinggal dalam suasana nyaman dan harmoni.
Beliau menyeru rakyat Malaysia, jika ada kekosongan pekerjaan yang ditawarkan oleh MRT Corp, mereka harus menyahutnya dan tidak perlu bimbang dari segi tempat tinggal kerana ia disediakan dan sangat menarik.
“Kalau dulu mungkin setengah rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor pembinaan ini kerana dibayangi oleh rumah kongsi, duduk di rumah kayu, dalam keadaan tidak selesa, keselamatan tidak terjamin, kesihatan tidak terkawal.
“Selepas ini mereka akan sedia bekerja dalam sektor pembinaan kerana majikan menyediakan tempat tinggal lebih selesa dan selamat.
“Saya dari Kementerian Sumber Manusia, khususnya JTKSM sentiasa mengambil tanggungjawab untuk memastikan majikan mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di negara ini,” katanya.
Kata beliau, mengikut keputusan itu, setiap majikan perlu mewujudkan tempat tinggal kepada pekerja mengikut standard ditetapkan iaitu dari segi keselesaan, keluasan, kesihatan dan keselamatan.
Ditanya mengenai wabak koronavirus, Mahfuz berkata, kerajaan melalui JTKSM telahpun mengeluarkan kenyataan berhubung pekerja yang bekerja di Malaysia, tetapi mereka sedang berada di luar negara seperti China dan sebagainya.
Kata beliau, mengikut garis panduan itu, majikan tidak boleh mengambil tindakan ke atas pekerja yang hadir pada waktu bekerja kerana atas alasan kesihatan dan keselamatan.
“Majikan tidak boleh ambil tindakan potong gaji dan sebagainya, kerana ini bukan kehendak pekerja itu. Ini kerana situasi keadaan yang berlaku.
“Saya percaya dari segi penjagaan di tempat pekerja yang ramai ini MRT Corp telah mengambil tanggungjawab yang lebih teratur. Jika ada tanda-tanda sakit, pekerja akan terus dihantar ke hospital berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















