Menteri Pengakutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor di Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) di Puspakom Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menyekat kemasukan kapal persiaran yang berlabuh di negara ini bagi mengekang penyebaran jangkitan 2019 novel koronavirus menerusi perkhidmatan pengangkutan itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebarang keputusan mengenai perkara itu mengambil kira bukti dan arahan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau menegaskan, KKM tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi memeriksa tahap kesihatan penumpang dari luar negara termasuk kapal persiaran dari luar negara.

“Setakat ini kita belum sekat mana-mana penumpang kapal persiaran. Apa dilaksanakan sebelum ini hanya warganegara China yang terbang dari dari wilayah tertentu yang telah disekat pergerakkan rakyatnya untuk tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

“Apa juga keputusan Kerajaan perlu berdasar bukti bahawa jangkitan boleh disebarkan melalui kapal persiaran.

“Bagaimanapun KMM tetap melakukan pemeriksaan suhu badan termasuk ke atas penumpang kapal persiaran yang berlabuh di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Bermotor di Puspakom Sdn. Bhd. cawangan Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada Kerajaan merancang untuk menyekat kemasukan penumpang kapal persiaran yang berlabuh di negara ini.

Ini berikutan tindakan Kerajaan Jepun yang melakukan kuarantin ke atas kapal persiaran dari Hong Kong selepas terdapat 10 penumpang dalam pengangkutan itu yang positif koronavirus selepas berlabuh di Tokyo. – MalaysiaGazette