Sedar Malaysia
Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat Malaysia (SEDAR Malaysia) membuat laporan polis terhadap Facebook Tun M The Legend kerana menghina Istana Johor dan PDRM di IPD Dang Wangi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat Malaysia (SEDAR Malaysia) hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik laman Facebook bernama ‘Tun M The Legend’ kerana menghina Istana Johor dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Laporan berkenaan dibuat oleh presidennya, Mohamad Nazrin Norani bersama beberapa NGO lain iaitu Pemangkin Gabungan Kuasa Rakyat dan Himpunan 220220 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Dalam status Facebook berkenaan, pentadbir akaun bertindak memuat naik kata-kata yang menghina Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana didakwa campur tangan dalam pertukaran rasmi Ketua Polis Johor ke Bukit Aman.

“Penghinaan kepada Istana Johor ini juga satu penghinaan kepada Raja-Raja Melayu yang lain dan kami tak boleh terima. Kalau kamu nak berpolitik pun, kamu nak bergaduh sesama ahli politik, tiada masalah, tapi jangan libatkan Sultan Melayu.

“Kami berharap akan ada tindakan daripada pihak polis, laman-laman seperti ini tidak boleh dibiarkan, kamu nak terus main politik tiada masalah, itu hak kamu, tapi jangan hina Raja-Raja Melayu,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPD Dang Wangi, hari ini.

Semalam, pemilik laman Facebook ‘Tun M The Legend’ memuat naik hantaran mengecam dan menghina Istana Johor berhubung dakwaan campur tangan dalam pertukaran Ketua Polis Johor ke Bukit Aman,

Antara penghinaan itu ialah ‘Kalau nak sangat jaga telor dia ni berhenti dari tugas pakaian seragam yang Kerajaan Persekutuan bayar gaji kamu dan kamu bolehlah kerja pengawal peribadi ambil gaji dari kocek dia sendiri.

Seterusnya, hantaran itu turut menyerang Tunku Ismail dengan mengatakan, ‘bukan tunduk pada individu atau mana-mana Istana mahupun topi pengakap, terutama yang berjambang.

Dalam pada itu, Mohamad Nazrin berharap pihak polis mengambil tindakan segera kerana ia boleh menimbulkan suasana cemas dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi penghinaan kepada institusi diraja sudah banyak kali berulang.

“Penghinaan kepada Raja Melayu ini merupakan satu perkara yang panik, kalau perkara itu boleh menimbulkan kemarahan kepada rakyat, rakyat boleh buat sesuatu, sudah tentu akan menyusahkan kerajaan.

“Isu ini perlu dianggap satu kecemasan, tolong bertindak sama seperti mereka yang menularkan berita palsu mengenai koronavirus,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis digesa menyiasat penghinaan itu di bawah Seksyen 4(1), Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta perbuatan fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kalau Menteri Komunikasi, Gobind Singh boleh buat macam-macam sebelum ini terhadap laman-laman politik, kenapa tidak ambil tindakan sama terhadap laman yang menghina Raja-Raja Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.