KEMAMAN – Pelumba dari Australia, Taj Jones menjuarai peringkat kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang melibatkan jarak 261.1km dari Dataran Batu Buruk ke Bandar Baru Kerteh, di sini, hari ini.
Pelumba Ara Pro Cycling Sunshine Coast itu melepasi garisan penamat dalam satu kelompok besar dengan catatan masa empat jam 05 minit 29 saat.
Pelumba NTT Pro Cycling Team, Maximilian Richard Walscheid, yang memenangi perlumbaan Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu, Khamis lalu, meraih tempat kedua manakala Jeremy Lecroq dari pasukan B&B Hotels Vital Concept di tempat ketiga.
Pelumba kelahiran Terengganu, Mohd Harrif Saleh dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia apabila menamatkan saingan di tempat kelima. – MalaysiaGazette
















