Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

SARIKEI – Kerajaan Sarawak sedang membangunkan taman pertanian dalam satu kawasan di antara Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis sebagai usaha meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan pertanian di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata usaha ini juga dijangka dapat meningkatkan pendapatan Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Taman pertanian ini akan dilengkapkan dengan kemudahan rangkaian jalan raya dan jambatan, kerajaan akan menyuntik dana bagi membolehkan lebih banyak bahan makanan dikeluarkan, khususnya di Sarikei yang terkenal sebagai bakul makanan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri di sini, hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri mampu membiayai projek-projek pembangunan yang telah diumumkan untuk dilaksanakan di negeri ini.

“Sarawak memiliki sumber pendapatan dan dana sendiri untuk melaksanakan projek-pojek tersebut yang kemudian dapat merangsangkan pembangunan ekonomi terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

— BERNAMA