Dr Mujahid Yusuf Rawa
Dr Mujahid Yusuf Rawa

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan yang bakal diambil terhadap ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman berhubung perbuatannya bertelekung semasa menjalani ibadah umrah baru-baru ini akan mengambil kira beberapa elemen termasuk tentang kerisauan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya akan meneliti semua maklumat yang diperoleh terlebih dahulu sebelum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap usahawan itu.

“Semua peluang atau pilihan yang ada (sama ada nasihat atau tindakan undang-undang) kita akan ambil. Perkara ini kena datang seiring kerana ia merupakan pakej rahmah… ada sesetengah orang kita tegur, tetapi dia buat-buat kasihan, selepas itu mengulang balik perbuatan itu.

“Undang-undang bukan bermakna tidak kena nasihat, kena nasihat tidak bermakna tiada tindakan undang-undang diambil. Namun yang penting, kita nak jaga keseluruhan kepentingan masyarakat dan nak ikut syariat Islam yang betul.

“Pada masa yang sama jika ada kesalahan, dia kena kembali (kepada ajaran Islam) dan betulkan balik, jangan betulkan atau minta maaf semata-mata nak selamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibah sempena Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di sini, hari ini.

Ia turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tindakan Muhammad Sajad yang bertelekung ketika mengerjakan ibadah umrah dan berkongsi perbuatannya itu menerusi media sosial, baru-baru ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan banyak pihak menggesa kerajaan mengambil tindakan berikutan perlakuan itu. – Bernama