Menteri Kerja Raya, Baru Bian bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran ‘Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge’ di Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia(LLM), Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 FEBRUARI 2020.

KAJANG – Maklumat terperinci dan lengkap mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak akan diumumkan pada 20 Februari ini.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, beliau akan mengumumkan kos sebenar projek berkenaan di Sarawak selepas beberapa perubahan dilakukan.

“Kalau nak tahu kos sebenar yang ditelan projek berkenaan selepas beberapa perkembangan serta perubahan setakat ini akan diisytiharkan nanti selepas Kementerian Kerja Raya mengambil alih hak pemilikan penuh projek tersebut.

“Tunggulah ya, 20 haribulan ini (Februari) saya akan memberikan maklumat tepat mengenai segala butiran berkaitan projek berkenaan Pan Borneo itu (Sarawak),” katanya yang merujuk tarikh itu kerana KKR akan menjadi pemilik tunggal projek tersebut.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Pra Pelancaran Culturan Night Run@Penang 2nd Bridge 2020 anjuran LLM pada 4 Julai 2020 ini di Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pada 6 Februari lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebanyak RM3.1 bilion dapat dijimatkan berikutan penamatan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan ia akan digunakan untuk projek infrastruktur lain di negeri itu.

Sementara itu, Baru Bian berkata, projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak kini telah 43 peratus siap.

“Bagaimanapun, saya akan melihat semula dan menyemak sekali lagi angka itu secara terperinci. Untuk itu saya perlu turun padang dan mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat jururunding bebas kami di sana,” jelasnya. – MalaysiaGazette