David Malpass. foto CNBC

WASHINGTON – – Bank Dunia menawarkan bantuan teknikal kepada China untuk memerangi wabak koronavirus tetapi tiada pinjaman baru.

Presidennya, David Malpass berkata, bank itu bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membantu China, termasuk memberikan nasihat tentang krisis kesihatan masa lalu, tetapi tidak merancang pemberian bantuan kewangan kerana China mempunyai sumber sendiri.

“Kita semua mengharapkan ada cara yang cepat untuk menangani koronavirus di China. Kami telah menawarkan bantuan teknikal dalam bidang kesihatan, kebersihan dan polisi-polisi penyakit,” katanya.

Dibentuk selepas Perang Dunia Kedua untuk membina semula Eropah, Bank Dunia kini mempunyai kira-kira AS$ 470 bilion aset dan China dalam kalangan peminjam terbesarnya dengan jumlah AS$ 14.8 bilion yang dibuat sejak tahun 2011.

China juga merupakan pemegang saham terbesar ketiga bank selepas Amerika Syarikat dan Jepun.

“China mempunyai rizab antarabangsa sendiri yang besar dan pinjaman baru tidak dipertimbangkan pada masa ini, kata Malpass.

China memiliki rizab pertukaran asing sebanyak AS$ 3.115 trilion pada bulan Januari.

Bank Dunia berkata, pakar-pakarnya sedang berbincang dengan pihak berkuasa China dan dapat membantu memberikan bantuan terhadap pengawasan penyakit, keselamatan makanan, pengajaran daripada pandemik sebelumnya dan analisis kesan wabak ke atas ekonomi China.

Di China, lebih daripada 300 syarikat daripada perkhidmatan penghantaran makanan kepada pembuat telefon pintar mahu mendapatkan lebih daripada AS$ 8.2 bilion pinjaman untuk mengurangkan kesan koronavirus, kata sumber perbankan kepada Reuters.

Pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan hingga 5% atau kurang suku tahun ini disebabkan oleh virus itu, menurut unjuran ahli ekonomi China.

Malpass enggan mengulas mengenai unjuran kesan krisis terhadap pertumbuhan ekonomi China atau dunia kerana terlalu awal untuk mengatakannya.

“Sudah tentu koronavirus memperlahankan pertumbuhan pada separuh pertama tahun 2020. Apa akibat jangka panjang yang kita perlu lihat ketika tindak balas berlaku dan penyesuaian dibuat.

“China baru kembali bermula selepas cuti Tabun Baru Cina, jadi kita perlu menilai pertumbuhannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette