Gambar tular di media sosial kes kematian seorang pemandu teksi di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.-pix FB.

KUALA LUMPUR – Salah seorang daripada dua pemandu teksi mati selepas bergelut di stesen minyak di Jalan Sungai Besi di sini hari ini.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, pihaknya telah menerima satu panggilan berlaku pergaduhan melibatkan dua lelaki.

“Siasatan awal di tempat kejadian oleh pegawai penyiasat dan anggota dari Bahagian Jenayah dan Unit Forensik IPK Kuala Lumpur menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring.

“Rakaman awal percakapan saksi-saksi dan rakaman CCTV turut dibuat,” katanya.

Mangsa merupakan warga tempatan berusia 61 tahun itu bergelut dengan seorang lagi pemandu teksi berusia 65 tahun.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz untuk dibedah siasat manakala suspek dibawa ke IPD Cheras untuk dilokap dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.

Sebelum itu, kejadian itu tular di media sosial dan pergaduhan itu dikaitkan dengan perbalahan yang berpunca daripada merebut minyak NGV di stesen minyak berkenaan.- MalaysiaGazette