TERKINI : Tanpa Lelah Menghiburkan Peminat, Kini Pemergian Abam Ditangisi

Hujan renyai sebaik sahaja jenazah pelawak popular, Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak di sini kira-kira jam 7.40 petang tadi.

Kaum keluarga, sahabat handai dan para peminat memenuhi perkarangan tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abam yang meninggal dunia secara mengejut pagi tadi.

Abam, 32, meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki yang baru berusia lapan bulan. Terdahulu jenazah Alahyarham telah dibawa dari kediamannya di Gombak ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat dan kemudian dibawa ke Masjid Gombak Utara untuk urusan mandi dan kafan sebelum disolatkan di situ.

Dianggarkan lebih 5,000 datang ke masjid bagi mendirikan solat jenayah Allahyarham. Rakan-rakan artis yang hadir antaranya Datuk AC Mizal, Datuk Hattan, Zamani, Tomok, Khir Rahman dan Datuk Zainal Abidin. Sahabat yang menganggotai kumpulan Bocey iaitu Achey hadir di kediaman Allahyarham sejak awal lagi sehinggalah jenazah selesai dikebumikan.

Beliau dilihat berkali-kali tidak mampu menahan air mata kerana pemergian Abam berlaku secara amat mengejut. Turut hadir di tanah perkuburan Azlee Senario dan Yassin Senario, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir di Masjid Gombak Utara dan sempat bertemu dengan Sabariah Arshad yang merupakan ibu kepada Allahyarham.

Di Tanah Perkuburan Sungai Pusu Gombak, orang ramai tidak putus-putus datang memberikan penghormatan terakhir kepada Abam. Abam meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor kira-kira jam 8.30 pagi tadi dipercayai akibat demam panas.

Difahamkan, kejadian itu disedari isterinya, Nor Hidayah apabila Allahyarham tidak bangun ketika dia mengejutnya untuk solat Subuh.

Abam meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey