KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin itu.

Dalam pertemuan itu, Anwar membangkitkan isu mengenai usul undi percaya kepada Dr Mahathir selaku Perdana Menteri.

Hasil daripada pertemuan itu, Anwar berkata, Dr. Mahathir memberitahu bahawa dirinya tidak ada kena mengena dengan usul yang akan dibawa oleh Pas, dalam sesi Dewan Rakyat, bulan hadapan.

“Perdana Menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.

“Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau membangkitkan isu tersebut kerana terdapat gerakan untuk menjayakan usul berkenaan di Dewan Rakyat dengan mengumpulkan tandatangan beberapa Ahli Parlimen.

“Ada usaha daripada Pas, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr. Mahathir sehingga akhir penggal,” katanya.

Semalam, Sarawak Report yang memetik sumber melaporkan bahawa Ahli Parlimen UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa untuk menandatangani akaun bersumpah (SD) dalam tempoh 48 jam.

Malah ia turut ditandatangani oleh beberapa Ahli Parlimen PKR yang memihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anwar berkata, isu samada peralihan kuasa antara beliau dan Dr Mahathir akan berakhir selepas APEC akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

Anwar berkata, pihaknya akan terus mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018.

“Maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8,” katanya. – MalaysiaGazette