Wah tetiba saya rasa pelik apabila dihujani ucapan tahniah ‘bertalu-talu’. Tetiba saya rasa macam Bong Joon-Ho, pengarah filem Parasite yang mencipta sejarah bila filemnya itu menang Oscar.

Sampai saya tak tahu adakah ia satu ucapan jujur atau satu ucapan perli kerana saya adalah wartawan yang jarang benar menang apa-apa anugerah kecuali anugerah dalam kantin Utusan dulu. (Dulu Utusan setiap bulan akan memberi hadiah pada stafnya yang berjaya menghasilkan artikel-artikel eksklusif – tempatnya di kantin!)

Berbalik pada anugerah yang saya terima malam tadi, relaks, ia bukanlah anugerah peringkat kebangsaan atau peringkat antarabangsa pun. Itu pun nombor dua je, bukan nombor wahid.

Saya menang tempat kedua Anugerah Liputan Media Terbaik. Ia diberi sebagai menghargai tulisan saya sewaktu membuat liputan ibadah korban di Republik Burundi dan Rwanda beberapa bulan lalu.

Namun apa yang saya nak ceritakan di sini, bagaimana sebuah syarikat kecil yang berpejabat di Gombak (bukan di KLCC atau Bangsar South) yang tidak pernah lupa menghargai insan-insan yang sama-sama membantu syarikat mereka dari ‘zero to hero’.

Syarikat itu adalah EZ Qurban Sdn Bhd.

EZ Qurban merupakan sebuah syarikat yang mengkhususkan perkhidmatan perlaksanaan ibadah korban dan akikah serta perkhidmatan sampingan yang lain seperti fidyah, zakat, derma dan wakaf.

Ia diasaskan Ustaz Azhar Ab Shukor, anak jati Sungai Besar, Selangor yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kuliah Hadis dan Pengajian Islam di Jamiah Abi Bakr Islamiyah, Karachi, Pakistan dan pernah bertugas sebagai pembantu Mufti di Kemboja pada tahun 2003.

Pengalamannya melihat bagaimana susahnya penduduk Islam di sana untuk menikmati walau secubit daging korban telah menyuntik semangat beliau untuk menubuhkan EZ Qurban pada 3 April 2007.

Sejak itu syarikatnya itu tidak berpaling lagi.

Sehingga kini EZ Qurban sudah melaksanakan ibadah korban termasuk Kemboja, Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Laos, Thailand, India, Myanmar, Chad, Ivory Coast, Kenya, Malawi, Mali, Morocco, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Somalia, Sri Lanka, Tanzania, Uzbekistan, Congo, Burkina Faso, Rwanda, Burundi, Nigeria, Ethiopia, Pakistan, Somaliland, Sudan, Yaman, Kyrgyzstan, Nepal dan Ghana.

Sebanyak 33,862 lembu dan 8,423 kambing berjaya diagihkan di negara berkenaan!

Berbalik kepada penghargaan yang saya sebutkan tadi, Azhar tidak pernah lokek untuk menghargai setiap ‘manusia’ yang membantu menjayakan misi dan visi syarikatnya.

Bukanlah sesuatu yang ‘asing’ bagi pekerjanya apabila mendapat hadiah daripada Azhar. Walau tidak mewah – tetapi ‘ada’.

Malam tadi EZ Qurban mengadakan majlis apresiasi untuk kesemua mereka yang membantu perjalanan syarikat itu selama ini.

Paling tidak dilupakan adalah pihak media.

Dalam ucapannya, Azhar tidak jemu-jemu berterima kasih pada petugas serta pihak media yang membantu mereka selama ini dan kemuncaknya adalah penyampaian anugerah kepada kakitangan termasuk rakan media sendiri.

Sebagai salah seorang penerima anugerah, saya melihat plak kecil yang saya terima dengan perasaan sayu.

Ini kerana ketika ini beribu-ribu petugas media hilang pekerjaan, malah ada yang sampai sekarang tidak menerima pampasan seperti mana yang dijanjikan. Contohnya pekerja Utusan Malaysia.

Bukan saja hilang pekerjaan, tiada pampasan, aset-aset syarikat mereka yang hendak dijual (untuk membayar hutang) pun tidak ada orang Melayu yang hendak membeli!

Betapa hinanya nasib petugas media, dijulang ketika diperlukan, dibuang begitu sahaja ketika tidak dimahukan.

Azhar dan ‘juak-juaknya’ adalah satu komponen kecil yang masih mempunyai ‘hati dan perasaan’ terhadap warga media walaupun majlis malam tadi bukanlah dibuat dalam skala gilang gemilang dan dilimpah dengan kemewahan.

Sebab itu apabila menerima plak kemenangan itu malam tadi, saya tidak menilai kepada bentuk dan nilainya, tetapi lebih kepada perasaan terharu kerana masih ada insan seperti Azhar dan EZ Qurban yang tahu mengenang istilah ‘budi dan jasa’.

Ini kerana waktu kami sedang susah, kami tahu kami masih memiliki doa mereka.

Setidak-tidaknya.