KUALA LUMPUR – Polis menahan sembilan lelaki selepas membuat kecoh dan bergaduh di dalam Balai Polis Port Dickson semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka ditahan kerana merusuh, membuat ugutan jenayah ke atas anggota polis dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Kejadian berlaku apabila satu kumpulan lelaki mabuk memecahkan cermin kereta milik seorang lelaki lain dengan menggunakan parang di Taman PD Utama, Port Dickson.

“Pergaduhan di Taman PD Utama itu berlarutan hingga ke pekarangan Balai Polis Port Dickson,” katanya dalam kenyataan sambil menambah mereka yang ditahan berumur antara 24 hingga 33 tahun.
Sebelum ini ttular rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu bertindak agresif ketika berada dalam balai polis itu.
Menurut Aidi Sham, semakan polis mendapati lima suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dan narkotik.

Selain itu, katanya, dua suspek didapati gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diperiksa polis dan ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506/186/148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967. – MalaysiaGazette