Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Laporan Sarawak Report mengenai beberapa ahli parlimen yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15 cuma khabar angin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, maklumat itu tidak sampai ke telinganya dan beliau mengganggap laporan itu cuma rencah dalam arena politik.

“Saya baru baca laporan itu semalam dan tidak ada dalam pengetahuan kami.

“SD itu hanya khabar angin, setakat yang saya tahu,” katanya dalam sesi dialog bersama industri mengenai impak Covid-19 di pejabatnya hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan Sarawak Report yang mendakwa beberapa ahli parlimen termasuk PKR yang berpihak kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menandatangani SD bagi menyokong pentadbiran Mahathir sehingga habis penggal.

Laporan Sarawak Report yang memetik sumber itu berkata, ahli parlimen daripada UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut digesa untuk menandatangani SD berkenaan.

Saifuddin berkata setakat ini tidak ada pihak yang mengaku menandatangani SD berkenaan.

“Tidak ada pengesahan (mengenai akuan bersumpah) dan itu masih kekal sebagai berita yang dilaporkan. Tidak ada sesiapa yang tampil.

“Tidak ada orang yang mendekati saya. Setakat yang saya semak tidak ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata pihak Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat seperti biasa pada Jumaat minggu depan.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai apa-apa SD yang didakwa bagi menyokong Mahathir.

“Saya tidak dimaklumkan secara rasmi,” kata Anwar ringkas. -MalaysiaGazette