KUALA LUMPUR – Persembahan hebat pasukan Vissel Kobe membolehkan pasukan dari Jepun itu membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan jaringan 5-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 malam tadi.

Ia pastinya malam yang tidak dapat dilupakan buat Keijiro Ogawa di Stadium Masaki Park, apabila penyerang berusia 27 tahun itu berjaya membuat jaringan hat-trick untuk membantu kemenangan Vissel Kobe.

Pemain sayap JDT, Muhammad Safawi Rasid berjaya mencatatkan namanya sebagai penjaring apabila berjaya meledakkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan pemain kebangsaan Belgium Thomas Vermaelen di dalam kawasan petak penalti.

Gol yang menyusul bagi menyamakan kedudukan selepas jaringan pertama Ogawa pada minit ke-13 itu kelihatan terus membakar semangat juang pasukan juara Liga Super Malaysia, namun Vissel Kobe terus beraksi cemerlang untuk mendahului di separuh masa pertama, hasil sepakan kencang Kyogo Furuhashi tidak sampai 60 saat kemudian.

Di separuh masa kedua perlawanan, anak buah Benjamin Mora itu dilihat bekerja keras untuk menyamakan kedudukan sekali lagi, namun mereka akhirnya nampak seakan-akan hilang arah selepas Vissel menjaringkan tiga gol kemudiannya.

Ogawa memperoleh gol keduanya pada minit ke-58, manakala pemain dari Brazil Dyanfres Douglas pula meledakkan gol keempat tuan rumah tujuh minit kemudian, sebelum Ogawa menanduk bola masuk ke pintu gol lawan pada minit ke-72 untuk melengkapkan jaringan hat-trick.

JDT selepas ini akan menjadi tuan rumah dalam perlawanan menentang pasukan juara dua kali Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada 3 Mac.

JDT membuat penampilan sulung musim lepas, menamatkan saingan musim itu dengan kedudukan di tempat keempat selepas menang satu perlawanan dengan Kashima Antlers, satu keputusan seri, dan empat kekalahan.- BERNAMA