Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan kepada umum mengenai penggunaan wang derma dari rakyat kepada Tabung Harapan Malaysia (THM).

Presidennya, Kapten (K) Haslihelmy DM Zulhasli berkata, rakyat hendak tahu sama ada benar atau tidak wang THM itu digunakan untuk membayar hutang negara akibat skandal 1MDB.

“Persoalannya, benarkah wang duit derma THM digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang negara termasuk 1MDB. Adakah Guan Eng mengemukakan segala bukti pembayaran hutang yang menggunakan duit itu?

“Rakyat berhak tahu setiap penggunaan wang derma itu kerana tujuan tabung itu ditubuhkan adalah untuk mengurangkan hutang negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Haslihelmy menjelaskan, THM ditubuh dan dilancarkan sebagai wadah untuk rakyat membantu negara dengan menderma bagi mengukuhkan kewangan kerajaan.

Katanya, ia dilakukan setelah kesediaan rakyat untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang negara yang didakwa berjumlah lebih RM1 trilion.

“Guan Eng telah mengumumkan kutipan keseluruhan THM berjumlah RM205 juta dan dia juga memaklumkan, derma itu akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

“Saya bangkitkan perkara ini kerana hutang negara tidak pun berkurangan, sebaliknya semakin bertambah. Jadi, apa guna tubuh THM jika hutang negara langsung tidak berkurangan?” soalnya.

Beliau menjelaskan, tidak cukup dengan derma rakyat melalui THM, kerajaan juga menjual aset negara untuk membayar hutang, tetapi hutang tidak juga berkurangan.

“Guan Eng seharusnya menjelaskan secara terperinci dan mengemukakan bukti penggunaan wang derma rakyat menerusi THM. Kita tidak mahu wang derma itu disalahgunakan.

“Selain THM, PSAP juga ingin tahu adakah kerajaan pusat telah membuat keputusan berhubung bayaran royalti minyak atau wang ihsan kepada Pahang.

“Ini kerana, pada Oktober 2012, (mantan) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam di Blok PM 307 oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil,” katanya.

Kata beliau, kedudukan medan minyak tersebut dilaporkan terletak kira-kira 160 kilometer di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang pada kedalaman 76 meter.

Oleh itu, Pahang dijangka menerima wang royalti sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran.

Sehubungan itu, PSAP ingin tahu apa status berhubung perkara tersebut dan berharap kerajaan pusat meluluskan bayaran royalti berkenaan jika Pahang layak menerimanya.

Pemberian wang ihsan atau royalti itu, jika diluluskan kerajaan pusat pastinya dapat memanfaatkan rakyat Pahang, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast